Bantuan RM3.28 juta Tabung Bencana Tanaman Padi beri kelegaan kepada 2,546 orang peladang MADA
- Reqa Qreatif
- Jun 28, 2024
- 1 min read
Hari ini saya hadir menyampaikan Bantuan Wang Ihsan Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) bersempena dengan MADA Day 2024 yang dijalankan di Ibu Pejabat MADA Ampang Jajar, Alor Setar, Kedah.
Alhamdulillah pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah meluluskan peruntukan melalui Tabung Bencana Tanaman Padi berjumlah RM3.28 juta kepada 2,546 orang peladang MADA yang terkesan dan terjejas akibat bencana banjir di Kawasan Muda pada bulan Ogos dan September 2023 melibatkan keluasan 3,276.40 hektar.
Bantuan ini bagi meringankan beban yang ditanggung oleh pesawah-pesawah MADA serta memberikan suntikan modal kepada pesawah-pesawah bagi aktiviti penanaman padi Musim 1/2024 yang telah bermula pada 17 April 2024 yang lalu.
Kementerian juga berhasrat untuk memperkenalkan satu skim yang lebih komprehensif bagi menggantikan Tabung Bencana Tanaman Padi yang dikenali sebagai Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) di mana skim ini mempertingkatkan kaedah Tabung Bencana Tanaman Padi sedia ada dengan jumlah pampasan lebih tinggi iaitu sehingga RM3,000.00 bagi setiap hektar semusim berbanding maksimum RM1,800.00 bagi setiap hektar semusim.
Skim ini sedang diperhalusi di peringkat Bank Negara Malaysia menerusi Agro Bank sebelum ianya boleh dikuatkuasakan. Bagi Kawasan Muda pula, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menjangkakan bahawa Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) akan dapat dimanfaatkan oleh seluruh pesawah-pesawah MADA pada Musim 2/2024 selepas skim ini dilancarkan pada bulan September 2024 bersempena penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024.