Insiden Kebakaran Putra Heights: Bantuan Diteruskan, Keselamatan Diperkukuh
- Reqa Qreatif
- Apr 3
- 1 min read
Pagi ini, Bang Mat turun ke Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) bagi mendengar taklimat terkini daripada agensi berkaitan mengenai insiden kebakaran akibat kebocoran saluran paip gas di Putra Heights.
Selepas taklimat, Bang Mat terus mengunjungi mangsa yang ditempatkan di Pusat Putra Harmoni. Alhamdulillah, keadaan mereka terkawal dan dalam keadaan baik. Bang Mat turut menasihatkan agar semua yang terlibat segera membuat laporan polis bagi memudahkan proses dokumentasi serta tuntutan berkaitan kehilangan atau kerosakan harta benda.
Bang Mat amat bersimpati terhadap mangsa yang terjejas. Insya-Allah pihak Kerajaan komited memastikan mereka mendapat bantuan sewajarnya, termasuk sokongan perubatan, tempat perlindungan sementara, serta bantuan kewangan bagi mereka yang memerlukan.
Penghargaan juga diberikan kepada pasukan penyelamat, termasuk pihak bomba, polis, dan agensi berkaitan, yang bertindak pantas dalam mengawal situasi serta memastikan keselamatan penduduk sekitar.
Kerajaan akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menyiasat punca kejadian serta mengambil langkah pencegahan yang lebih ketat. Bang Mat menyeru agar semua pihak sentiasa peka terhadap aspek keselamatan, terutama melibatkan infrastruktur kritikal seperti saluran paip gas.-Insiden Kebakaran Putra Heights: Bantuan Diteruskan, Keselamatan Diperkukuh
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan juga akan memantau keperluan bantuan makanan sekiranya diperlukan bagi memastikan kebajikan mangsa terus terjaga.