Isu Palestine : Negara Arab Terus Bersikap Memalukan
- Reqa Qreatif
- Nov 14, 2023
- 2 min read

DI KALA RAKYAT EROPAH BANGKIT MENENTANG REJIM ZIONIS ISRAEL, NEGARA ARAB KEKAL BERNIAGA DENGAN ISRAEL
Merujuk kepada kenyataan saya minggu lepas bahawa adakah umat Islam dan umat Arab menanti masyarakat di Eropah yang akan membebaskan Palestin daripada kekejaman rejim Apartheid Zionis Israel?
Hari ini setelah lebih 11 ribu penduduk Gaza dibunuh termasuk lebih 6000 kanak-kanak dan wanita, masyarakat di Eropah lebih keras dan tegas bangkit berdemonstrasi besar-besaran di New York, London, Brussels, Madrid dan Dublin mengutuk tindakan kejam Israel yang disokong Amerika dan Britain.
Negara-negara di Amerika Latin dan Afrika juga mengkritik dan memutuskan hubungan dengan Israel serta menghalau duta Israel di negara mereka. Kerajaan Ireland dan ahli parlimennya berucap di Parlimen Eropah mengkritik keras tindakan genocide rejim Israel.
Namun di negara-negara Arab dan negara Islam di rantau tersebut masih mengekalkan hubungan diplomatik dan membekalkan minyak, gas serta bekalan makanan setiap hari kepada rejim Israel. Inilah nasib malang menimpa umat Islam hari ini kerana mereka sendiri tidak diasuh untuk memahami hak asasi manusia, hak kanak-kanak dan wanita.
Walaupun kita tidak bersetuju dengan beberapa perkara terhadap negara Barat, tetapi rakyat mereka memahami hak asasi manusia, hak kanak-kanak dan wanita selari dengan undang-undang antarabangsa. Bahkan sebahagian besar Konvensyen Ganeva berkait hak asasi manusia, dan undang-undang berkait jenayah perang di PBB tersebut, selari dengan ajaran Islam yang melarang tenteranya membunuh wanita orang tua dan kanak-kanak, merosakkan bangunan, rumah ibadah dan sumber air.
Tetapi Israel melanggar kesemua tatacara peperangan dalam undang-undang antarabangsa dan hal ini menjadi fokus kritikan sebahagian besar negara dan masyarakat di Eropah.
Malangnya di dunia Arab hanya ada beberapa negara yang berani mengkritik secara lantang seperti Iraq, Lubnan, Syria dan Algeria. Namun sebahagian besar yang lain kekal meneruskan hubungan diplomatik dan masih aktif berdagang dengan Israel.
Ia menunjukkan seolah-olah mereka langsung tidak mempunyai perasaan terhadap belasan ribu rakyat Gaza yang tidak bersenjata dibunuh dengan kejam oleh rejim Apartheid Israel yang sudah lebih sebulan.
Ketika ini rakyat Gaza dan Palestin hanya bergantung kepada tiga kumpulan tanpa negara iaitu Hamas, Jihad dan Hizbullah yang berjuang menentang kekejaman Israel dengan hanya dibantu oleh negara negara miskin seperti Syria, Yaman dan Iran. Manakala negara-negara Arab dan negara Islam sekitar hanya membisu dan kekal menjalankan perniagaan dengan Israel.
Shame on you.
Mohamad Sabu
Presiden
Parti Amanah Negara