top of page

KENYATAAN MEDIA AHLI PARLIMEN KOTA RAJA, SELANGOR

  • Reqa Qreatif
  • Apr 3
  • 1 min read

KENYATAAN MEDIA AHLI PARLIMEN KOTA RAJA, SELANGOR

KEBAKARAN PAIP GAS PETRONAS: DOA DAN TINDAKAN SEGERA UNTUK MANGSA


Saya merakamkan rasa dukacita yang mendalam dan solidariti penuh terhadap semua mangsa yang terkesan dalam insiden kebakaran saluran paip gas Petronas di Putra Heights, Subang Jaya semalam.


Kejadian ini bukan sahaja menggemparkan negara, malah menyukarkan kehidupan penduduk setempat apabila lebih 100 orang mengalami kecederaan, termasuk kanak-kanak, selain ratusan rumah dan kenderaan mengalami kerosakan yang amat serius.


Semalam dan pagi ini, saya telah dapat menghubungi pihak berkuasa dan wakil-wakil agensi berkaitan bagi mendapatkan maklumat terperinci. Semalam juga saya telah mengarahkan staf Parlimen Kota Raja untuk turun padang mendapatkan maklumat kejadian dan bekerjasama dengan agensi Kerajaan yang lain untuk memberikan bantuan awal kepada mangsa yang terlibat.


Saya menyambut baik komitmen segera daripada YAB Perdana Menteri dalam memberi jaminan pembaikan menyeluruh kepada infrastruktur yang rosak serta tanggungjawab terhadap kebajikan mangsa.


Siasatan terperinci dan telus perlu dijalankan terhadap punca kejadian ini dan memastikan langkah-langkah keselamatan diperketatkan demi mengelakkan tragedi sebegini daripada berulang.


Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan-rakan Ahli Parlimen yang berjiran dengan kawasan Kota Raja yang turut sama turun padang, serta semua agensi Kerajaan — khususnya bomba, polis, petugas perubatan, dan pihak berkuasa tempatan — yang telah bertindak pantas menyelamatkan mangsa dan mengawal keadaan daripada menjadi lebih parah.


Saya menyeru semua pihak agar terus bertenang, mematuhi arahan keselamatan, dan sentiasa menjaga kebajikan sesama jiran dalam menghadapi musibah ini.


Semoga mangsa-mangsa yang sedang dirawat segera diberi kesembuhan, dan kita semua diberi kekuatan untuk bangkit bersama.-KENYATAAN MEDIA AHLI PARLIMEN KOTA RAJA, SELANGOR


“Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.”


DATUK SERI HAJI MOHAMAD SABU

Ahli Parlimen Kota Raja


politics food security

MEDIA SOSIAL

  • alt.text.label.Facebook
  • alt.text.label.Instagram

Mohamad Sabu

HUBUNGI SAYA

©2023, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu. 

Website about Politics & Food Security
bottom of page