top of page

Lawatan Menteri Pertanian ke Persekutuan Rusia

  • Reqa Qreatif
  • Aug 21, 2023
  • 2 min read

YB Datuk Seri Mohamad bin Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengetuai delegasi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi lawatan kerja ke Persekutuan Rusia bermula pada 15 hingga 23 Mei 2023.


Lawatan kerja YB Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan ke Persekutuan Rusia ini adalah selaras dengan penyertaan YB Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan delegasi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan ke 14th International Economic Forum “Russia-Islamic World: KazanForum" 2023. KazanForum merupakan acara antarabangsa yang dianjurkan oleh Kerajaan Rusia melalui Kerajaan Republik Tatarstan sejak tahun 2009 sebagai platform bagi memperkukuhkan kerjasama antara Rusia dengan negara-negara Islam. \


Sebagai pengiktirafan, pada tahun 2022 Presiden Rusia telah menaik taraf KazanForum sebagai acara tahunan utama peringkat antarabangsa yang dianjurkan oleh Rusia melibatkan anggota negara Pertubuhan Kerjasama Islam (Organisation of Islamic Cooperation – OIC). Antara program utama di bawah KazanForum 2023 ialah Ekspo Halal Rusia 2023 yang melibatkan pameran dan promosi produk makanan halal di Rusia. Melalui ekspo ini, Malaysia boleh meneroka potensi dan peluang mempromosikan buah-buahan tropika yang sedia dieksport serta memperkenalkan produk makanan halal bukan sahaja kepada Rusia malah kepada negara-negara OIC yang turut menyertai KazanForum 2023.

Semasa di KazanForum 2023, YB Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan menyampaikan ucapan pada sesi meja bulat Malaysia dan Rusia bagi memberikan gambaran dan menyatakan wawasan sektor pertanian dan keterjaminan makanan Malaysia. Di samping itu, YB Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan juga akan menyampaikan ucaptama pada sesi plenari forum tersebut dengan tema Teras Ekonomi: Kerjasama antara Rusia dan negara-negara OIC.


Dalam rangka lawatan kerja ini, YB Menteri telah dijadualkan untuk mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawat beliau iaitu TYT Dmitry N. Patrushev, Menteri Pertanian Rusia di Moscow dan juga mesyuarat dua hala dengan TYT Marat Zyabbarov Menteri Pertanian dan Makanan Republik Tatarstan di Kazan bagi membincangkan kerjasama pertanian antara Malaysia dan Rusia dengan mengutamakan akses pasaran produk pertanian Malaysia ke Rusia.


Lawatan kerja ini akan turut disertai oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), pegawai-pegawai kanan KPKM serta pegawai kanan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).






politics food security

MEDIA SOSIAL

  • alt.text.label.Facebook
  • alt.text.label.Instagram

Mohamad Sabu

HUBUNGI SAYA

©2023, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu. 

Website about Politics & Food Security
bottom of page