top of page

Mafia beras : Kementerian bersama MyCC akan menyiasat isu ini jika ada

  • Reqa Qreatif
  • Mar 1, 2024
  • 2 min read



KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengesahkan sedang bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk menyiasat dakwaan wujudnya unsur mafia atau kartel dalam industri padi dan beras.


Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerjasama itu membabitkan siasatan di bawah Akta Persaingan 2010 [Akta 712].


"Kerjasama penuh akan diberikan kepada MyCC sehingga siasatan selesai dijalankan," katanya melalui jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen hari ini.


Beliau berkata demikian menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang menuntut penjelasan daripada menteri apakah wujud unsur mafia dalam industri beras di Malaysia.


Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan cadangan untuk melaksana beras putih Malaysia MADANI mampu mengekang industri beras negara dari kawalan oleh pihak kartel.


Beliau berkata demikian mengulas gesaan Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh yang memintanya untuk tidak membenarkan cadangan beras putih Malaysia MADANI dilaksanakan berikutan ia didakwa seperti menyokong perbuatan kartel yang mencampurkan beras tempatan dan beras import.


Mengenai soalan Hassan ke mana perginya beras tempatan sehingga orang ramai berdepan kesukaran mendapatkan bekalan, Mohamad berkata kenaikan harga beras import (BPI) akibat tekanan daripada ketidaktentuan harga beras global, polisi negara pengeksport dan kemerosotan ringgit telah mempengaruhi kenaikan harga BPI dan kekurangan hasil pengeluaran padi dalam negara.


Ia juga, katanya, memberi kesan langsung kepada keberadaan bekalan beras putih tempatan (BPT) di pasaran.


"Disebabkan perbezaan harga yang ketara antara BPT dengan BPI, terdapat peningkatan permintaan yang berterusan terhadap BPT untuk kegunaan isi rumah.


"Di samping itu, faktor lain dikenal pasti juga mempengaruhi kestabilan bekalan BPT di pasaran awam iaitu pembelian tinggi oleh pengusaha kedai makanan dan restoran, serta pihak industri yang mengeluarkan produk sampingan beras, penggunaan beras di dalam tender-tender makanan kerajaan dan beras sebagai medium pembayaran zakat," katanya.


Beliau berkata, pada Kadar Sara Diri (SSR) beras sebanyak 62.6 peratus, pengeluaran beras semasa di dalam negara tidak dapat menampung keperluan domestik.

politics food security

MEDIA SOSIAL

  • alt.text.label.Facebook
  • alt.text.label.Instagram

Mohamad Sabu

HUBUNGI SAYA

©2023, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu. 

Website about Politics & Food Security
bottom of page