Penangkapan ikan air laut negara secara berlebihan, kerajaan pergiat tindakan penguatkuasaan
- Reqa Qreatif
- Oct 16, 2024
- 1 min read

Menjawab soalan dari YB Sri Aman berkaitan dengan penangkapan ikan air laut di perairan negara secara berlebihan (overfishing) dikawal, terutama di kawasan perairan yang terancam akibat aktiviti ini.
KPKM melalui Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dan Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS) sentiasa melaksanakan Pemantauan, Pengawalan dan Pengawasan bagi memastikan aktiviti penangkapan ikan di perairan negara dapat dikawal supaya tidak dieksploitasi secara berlebihan (overfishing).
DOF giat mengambil tindakan penguatkuasaan di perairan negara bersama-sama agensi penguatkuasaan seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin (PPM). Tindakan undang-undang dikenakan bagi kesalahan-kesalahan yang melanggar Akta Perikanan 1985 (Akta 317).
Bagi memastikan peralatan tangkapan yang digunakan tidak menjejaskan ekosistem perikanan, DOF telah menyenaraikan bubu naga sebagai peralatan larangan dalam Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Cara Menangkap Ikan) 1980 serta Peraturan-Peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan Terancam) 1999 berkuat kuasa 1 Mei 2024.
Pelan transformasi pukat tunda di Zon B juga telah dilaksanakan bagi mengelak sumber perikanan daripada dieksploitasi secara berlebihan. Tukun tiruan dilabuhkan di kawasan yang tidak dibenarkan menunda iaitu di bawah lima (5) batu nautika bagi menghalang pencerobohan pukat tunda.
Bagi mengawal bilangan vesel penangkapan ikan yang beroperasi di laut, pengeluaran lesen laut pantai telah dikawal sejak tahun 1982 dan lesen tersebut hanya dikeluarkan berdasarkan baki stok ikan dan keperluan semasa.