Usahawan muda perlu cebur bidang penternakan - Bang Mat
- Reqa Qreatif
- Dec 17, 2024
- 1 min read
Hari ini, Bang Mat melawat Kompleks Sawit Kinabalu Livestock Integrated Center (SKLIC) di Balung, Tawau. Lawatan ini bertujuan untuk meninjau aktiviti dan kemajuan sektor penternakan lembu di negeri Sabah.
Jumah ternakan di sini adalah sebanyak 15,453 ekor ternakan, di mana sebanyak 10,692 ekor diternak secara integrasi dalam kawasan ladang yang meliputi 27,444 hektar tanah sawit.
Ladang sawit didapati sangat kondusif untuk integrasi penternakan lembu, kerana kaedah ini dapat mengatasi masalah kekurangan tanah dan menjimatkan penggunaan racun rumpai sehingga 30%.
Sistem integrasi ini juga selari dengan "Sustainable Development Goals" (SDG) dan mampu memberikan impak positif terhadap pengeluaran minyak sawit. Bang Mat turut dimaklumkan bahawa Sawit Kinabalu pernah menerima anugerah pengeluaran hasil minyak sawit tertinggi selama dua tahun berturut-turut daripada MPOB.
Dengan pengurusan ternakan yang baik, sistem ini terbukti tidak mengganggu pengeluaran hasil sawit. Malah, ia memberikan keuntungan tambahan melalui penjimatan kos penggunaan racun rumpai. Kaedah integrasi ini juga dianggap sebagai "zero-cost farming" kerana lembu hanya meragut rumput di ladang kelapa sawit tanpa memerlukan makanan import.
Sektor penternakan memainkan peranan penting dalam meningkatkan tahap sara diri (SSR) negara dalam pengeluaran daging. Bang Mat menggalakkan lebih ramai usahawan muda untuk menceburi bidang penternakan, kerana ia bukan sahaja menawarkan potensi pendapatan yang baik tetapi juga membantu mengurangkan kebergantungan kepada import daging.
Kerajaan komited untuk terus menyokong usaha-usaha seperti ini, termasuk menyediakan latihan, kemudahan, dan insentif kepada usahawan muda, dengan matlamat membawa industri ternakan negara ke tahap yang lebih tinggi.
Syabas Bang Mat ucapkan kepada Sawit Kinabalu Livestock Integrated Center.